Elak Kesan Sampingan Dengan Penambilan Ubat Tahan Sakit

By Zahirah Dzahir - 5/16/2014 10:53:00 PG


Kesakitan ringan yang dialami sekali-sekala se­perti sakit kepala, sakit gigi, sakit perut dan demam sering menjejaskan keselesaan kita, sama ada ketika bekerja atau menjalani kehidupan seharian.

Malah, kesakitan menjejaskan hubungan kita dengan orang lain. Ini kerana kita akan cepat marah dan menganggap kerenah orang sekeliling menambah kesakitan.
 Image result for Elak Kesan Sampingan Dengan Pengambilan Ubat Tahan Sakit




Biasanya, kita akan mengambil ubat tahan sakit yang dibeli di farmasi atau kedai runcit tanpa preskripsi (OTC).

Ada pelbagai jenis ubat tahan sakit yang berfungsi secara berlainan dan sesuai untuk jenis sakit tertentu.

Namun, kita sering mengambil mudah jenis ubat tahan sakit dan kegunaannya apabila menganggap satu jenis ubat boleh merawat semua kesakitan ringan.

 Akibatnya, kita mungkin mendapat kesan sampingan kerana mengambil ubat yang tidak sesuai untuk jenis kesakitan dialami.

Pengurus Jenama Kanan GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), Elain Lim berkata, pengguna perlu menimbang dua perkara ketika memilih ubat tahan sakit OTC bagi melegakan kesakitan dan demam ri­ngan.

Pertama, fungsi ubat tahan sakit berikutan analgesik yang digunakan iaitu paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) seperti aspirin, ibuprofen, naproxen dan diclofenac berkesan menangani kesakitan ri­ngan hingga sederhana, termasuk mengurangkan demam.
  
Kedua, kesesuaian ubat tahan sakit itu kepada pengguna kerana bukan semua orang boleh me­ngambil analgesik yang sama jika mengalami gejala penyakit sama, walaupun semua ubat tahan sakit OTC selamat digunakan.
Segelintir pengguna memerlukan rawatan tertentu ketika memilih analgesik yang tepat untuk mereka.

“Ketika memilih ubat tahan sakit, faktor umur juga perlu diambil kira kerana dos berlainan diperlukan untuk merawat pesakit dewasa dan kanak-kanak berikutan tindak-balas kedua-duanya terhadap analgesik diambil adalah berbeza.

“Warga emas juga perlu berhati-hati mengambil ubat tahan sakit berikutan semakin meningkat usia, tubuh kita kurang berfungsi dengan baik.

“Oleh itu, penting untuk me­ngambil ubat tahan sakit yang tidak menyebabkan kesan sampingan dan boleh diambil bersama ubatan untuk merawat masalah kesihatan lain,” katanya.


Beliau ditemui pada kempen kesedaran me­ngenai pengurusan kelegaan daripada kesakitan menerusi jenama Panadol keluaran GSK bagi membantu pengguna me­ngatasi kesakitan ringan mereka dan cara mengatasinya dengan memilih ubat tahan sakit OTC yang bersesuaian.

GSK kini menawarkan pelega kesakitan bukan saja untuk sakit kepala, malah untuk kesakitan ringan seperti sakit sendi dan otot, demam dan selsema, sakit belakang, leher dan bahu, sakit ketika datang haid, sakit belakang kerana keletihan bekerja dan demam serta selesema untuk kanak-kanak.

Elaine berkata, pengguna juga perlu menimbangkan faktor kesihatan lain ketika mengambil ubat tahan sakit OTC kerana kandu­ngan analgesik dikhuatiri boleh memburukkan lagi penyakit terbabit.

“Pengguna mengalami ulser perut atau pernah mengalaminya perlu mengelak mengambil ubat mengandungi NSAIDs kerana ia boleh menyebabkan kesakitan pada perut yang lebih serius, sebaliknya mereka boleh mengambil paracetamol.

“Begitu juga pengguna yang ada masalah tekanan darah ting­gi dan jantung, penyakit radang usus, semput dan masalah pendarahan apabila pengambilan NSAIDs memburukkan lagi pe­nyakit itu.

“Selain itu, pengguna yang ada masalah buah pinggang dan hati tidak digalak mengambil ubat tahan sakit OTC mengandungi NSAIDS dan paracetamol kerana ia boleh menjejaskan fungsi kedua-dua organ itu,” katanya.


Berikutan itu, Elaine berkata, penting untuk pengguna membaca terlebih dulu label pada ubat bagi memastikan kandungan analgesiknya sesuai dengan kesakitan dialami, di samping ubat tahan sakit itu juga boleh mengurangkan kesakitan tanpa mengakibatkan masalah kesihatan lain.


Pengguna juga perlu tahu masa tepat untuk mengambil ubat tahan sakit OTC supaya pengambilannya tidak mengganggu perut.
Malah, pengguna diingatkan supaya tidak mengambil ubat tahan sakit itu lebih daripada dos dibenarkan.
  
Namun, yang penting, pengguna perlu memastikan ubat tahan sakit OTC itu tidak menyebabkan alahan berikutan segelintir orang sangat sensitif kepada ramuan aktif dalam ubatan.
Salah pengambilan boleh me­nyebabkan alahan seperti batuk, bengkak pada bibir, lidah atau muka, kulit gatal atau terbakar dan masalah pernafasan.
  
harian metro

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!