Tangani Anak Obes

By Zahirah Dzahir - 2/17/2014 04:17:00 PTG

Balik-balik isu berat badan berlebihan dan kegemukan, tidakkah jemu mengulang perkara yang sama? Soalan ini tiba di telinga penulis. Tidak timbul soal jemu kerana masalah kegemukan ini masih belum ada kesudahannya.
Apa yang lebih membimbangkan apabila ada sesetengah ibu bapa tidak menganggap kegemukan anak mereka sebagai satu masalah yang perlu ditangani.
Inilah penemuan analisis daripada 69 kajian terdahulu yang mendapati hampir 51 peratus ibu bapa di Amerika Syarikat yang mempunyai anak gemuk atau obes melihat ia sebagai satu perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan
Bahkan ibu bapa ini tetap menganggap anak mereka mempunyai berat badan normal walaupun Indeks Jisim Tubuh (BMI) jelas menunjukkan kanak-kanak berkenaan gemuk atau obes, kata Dr Rachel Thornton, pakar kanak-kanak dan pensyarah di Pusat Pengajian Perubatan John Hopkins. 

Menurut penyelidik, perkara itu mungkin disebabkan masalah kegemukan atau obesiti kanak-kanak menjadi perkara biasa sehingga membuatkan ibu bapa tidak lagi melihatnya sebagai sesuatu yang membimbangkan. Ini kerana satu pertiga kanak-kanak di Amerika Syarikat mengalami masalah kegemukan melampau atau obesiti seperti laporan yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Menurut Dr Thornton, dia tidak terkejut dengan analisis berkenaan, bahkan dia pernah dikunjungi ibu bapa yang bimbangkan anak mereka terlalu kurus apabila dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang berbadan besar. Selain itu, ramai juga ibu bapa percaya kegemukan anak mereka akan hilang apabila si anak semakin membesar.
“Mereka percaya kanak-kanak kecil yang gemuk ini akan menjadi kurus secara semula jadi apabila membesar kelak. Masalahnya, kanak-kanak kecil yang gemuk biasanya akan membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang gemuk. Berat badan berlebihan ini akan dibawa bersama sepanjang proses mereka membesar,” sambungnya. 

Semua orang maklum, bukan mudah untuk menurunkan berat badan, apatah lagi dengan gaya hidup masyarakat dunia sekarang yang banyak makan dan kurang bersenam selain terlalu sibuk dengan aktiviti dalam rumah yang tidak menggunakan banyak tenaga. 

Memang tidak dinafikan masih ramai ibu bapa yang kurang pengetahuan dalam menyediakan makanan seimbang untuk anak mereka. Ramai yang beranggapan asalkan anak makan, sudah memadai. Pada masa sama, ramai juga ibu bapa berhadapan dengan masalah untuk memujuk anak makan makanan seimbang dan menyihatkan. 

Kegemukan atau obesiti ketika kecil ini akan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah kencing manis. Ini terbukti apabila semakin ramai remaja obes disahkan menghidap diabetes jenis 2 iaitu kencing manis yang biasanya dialami orang dewasa. 

Malah CDC turut memberitahu, kegemukan yang dibawa dari kecil ini juga mendekatkan seseorang itu kepada penyakit jantung, sakit sendi dan kanser. Risiko penyakit ini bukanlah fakta baru, ia sudah kerap dibicarakan ramai pakar perubatan. 

Ini belum masuk soal psikologi kerana banyak kes dilaporkan kanak-kanak yang gemuk atau obes kerap menjadi mangsa buli. Mereka mungkin tidak dibuli secara fizikal tetapi dengan kata-kata ejekan yang membuatkan mangsa berasa malu, sedih, rendah diri, tertekan, terasing, tidak mempunyai kawan kerana dipulaukan dan akhirnya enggan ke sekolah. 

Kadangkala ada ibu bapa tidak sedar mereka sendiri menjadi pembuli dengan memberi gelaran tertentu kepada anak yang berbadan besar ini. Panggilan yang pada asalnya bertujuan mengusik atau bergurau sebenarnya boleh menjejaskan keyakinan diri anak, membuatkan mereka malu dan berkecil hati. 

Jika anak anda jenis agresif, bimbang dia pula yang menjadi pembuli di sekolah kerana menyedari saiz badannya boleh menyebabkan kawan-kawan sebaya berasa gerun atau sebagai cara melepaskan rasa marah dan tidak puas hatinya akibat sering diejek atau diusik di rumah oleh keluarga sendiri. 

Ini antara sebahagian sebab pentingnya ibu bapa memantau pertambahan berat badan anak. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri perlu memastikan masalah kegemukan dan obesiti tidak membelenggu mereka sekeluarga. Usaha mengatasi masalah kegemukan anak pastinya tidak akan berkesan sekiranya mereka sendiri berbadan gempal. 

Menurut Pakar Pemakanan Pediatrik dan Perubatan Remaja, Pusat Perubatan Kanak-Kanak Cohen di New York, Dr Marlo Mittler, kajian itu menunjukkan pakar kanak-kanak perlu memainkan peranan aktif dalam memberikan kaunseling kepada ibu bapa mengenai masalah kegemukan kanak-kanak. 

“Doktor dan pakar kanak-kanak perlu lebih tegas dengan memberitahu ibu bapa bahawa anak mereka akan menghadapi masalah besar jika isu kegemukan tidak ditangani. Inilah sebabnya mereka perlu menggunakan pengukuran berdasarkan BMI kanak-kanak yang mempunyai julat tertentu mengikut ketinggian dan umur, bukannya hanya melihat kepada saiz fizikal. 

“Doktor perlu memberitahu risiko kesihatan yang bakal dihadapi kanak-kanak gemuk dan obes. Dalam soal menjaga kesihatan kanak-kanak, tiada istilah terlalu cepat. Kita boleh memperkenalkan makanan yang disediakan secara sihat seperti ikan bakar, ayam panggang, sup dan salad kepada kanak-kanak meskipun dirasakan mereka masih terlalu kecil,” katanya. 

Sememangnya tabiat makan secara sihat ini perlu dipupuk sejak kecil supaya ia menjadi gaya hidup yang akan diteruskan sehingga dewasa. Malah ia juga diharap dapat menjadi pendinding supaya anak-anak ini tidak cepat terpengaruh dengan tarikan beraneka makanan segera yang menjadi penyumbang besar kepada masalah obesiti di seluruh dunia baik pada kanak-kanak atau orang dewasa.
hmetro

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!