Alahan Makanan Bagi Bayi / Kanak-kanak

By Zahirah Dzahir - 1/17/2014 08:31:00 PG

Assalamualaikum..

ALAHAN MAKANAN


Apakah itu alahan pemakanan?
Kesan tindak balas yang memudaratkan daripada sistem imunisasi badan terhadap beberapa jenis makanan yang dianggap berbahaya kepada badan.

Berapa kerap ia berlaku?
Adalah dianggarkan, 2% kanak-kanak mengalami alahan makanan (lebih tinggi dikalangan kanak-kanak yang lebih muda iaitu sebanyak 5-8%). Kebanyakan kanak-kanak akan hilang alahan makanan apabila mereka meningkat dewasa. Walau bagaimanapun, sesetengah alahan seperti alahan kepada kacang tanah dan kerang-kerangan mungkin akan berlanjutan sepanjang hayat. Dikalangan orang dewasa, kejadian alahan makanan berkurangan kepada anggaran 1% daripada populasi keseluruhan.

Apakah jenis makanan yang biasanya menyebabkan alahan?
Antara makanan yang biasanya menyebabkan alahan adalah:
Susu lembu.
Telur.
Kacang soya.
Gandum.
Kacang tanah, tree nuts (walnut, kacang hazel).
Makanan laut, kerang-kerangan 
(contoh : udang, ketam, kepah).
Beberapa bahan pewarna dan bahan perasa.

Bilakan seseorang itu disyaki mengalami alahan makanan?
Gejala alahan biasanya berlaku dengan cepat dalam tempoh beberapa minit hingga kurang dari 2 jam selepas makan. Kadang-kala tanda-tanda alahan terjadi selepas beberapa jam makanan di makan.

Tanda dan gejala alahan makanan termasuklah:
- 'Angioedema' (kebengkakan muka, bibir, lidah, di sekitar mata).
- Kesukaran bernafas dan berdehit.
- Ruam kulit yang gatal termasuklah tompok-tompok merah (urticaria).
- Rasa loya, muntah dan cirit-birit.
- Perut yang sakit dan memulas.
- 'Colic' (sakit perut) dikalangan bayi.
- Anafilaksis iaitu reaksi teruk yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, kebengkakan dalam mulut dan kerongkong, tekanan darah rendah, kejutan (shock) malah boleh mendatangkan kematian. Gejala ini biasanya berlaku dengan cepat dalam jangka masa beberapa minit hingga beberapa jam selepas pengambilan makanan.
Gejala yang sama boleh berlaku dalam intoleransi terhadap makanan (food intolerance)dan penyakit-penyakit lain. Maka pemeriksaan doktor perlu dilakukan untuk membuat diagnosa yang tepat.

Apakah kesannya?
Gejala dan sakit mungkin di tahap sederhana tetapi kadang-kala gejala serius seperti anafilaksis boleh berlaku iaitu saluran pernafasan tersekat dan sistem jantung tidak berfungsi. Ini boleh membawa  maut.
Pengelakkan beberapa jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan tertentu sekiranya makanan tambahan tidak diambil, contohnya kekurangan kalsium boleh berlaku jika semua produk susu dikeluarkan daripada pemakanan kanak-kanak yang alah kepada susu lembu.
Tumbesaran terbantut dan ia boleh berlaku sekiranya banyak kumpulan makanan dihadkan.

Bagaimana alahan makanan dikenal pasti?
Adalah terbaik berjumpa doktor untuk mengenal pasti alahan makanan. Jangan sesekali  membuat ujian sendiri untuk mengetahui sama ada sesuatu makanan boleh mencetuskan alahan. Sesetengah ujian darah untuk mengesan tahap antibodi (IgE) atau 'ujian suntikan kulit' (skin prick test) boleh dilakukan oleh doktor untuk membantu mengenal pasti alahan tertentu.

Adakah sebarang rawatan untuk merawat alahan makanan?
Ada. Antara langkah-langkah yang berkesan adalah:
  • Dalam kes yang telah dikenal pasti, elakkan makanan yang menyebabkan alahan. Dapatkan nasihat Pegawai Dietitik  jika perlu untuk mengelakkan kekurangan zat makanan.
  • Memberi rawatan untuk tindak balas yang teruk daripada pendedahan secara tidak sengaja kepada mangsa, termasuklah:
  • Menyuntik diri sendiri dengan adrenalin/epinephrin menggunakan jarum atau pen khusus yang disediakan.
  • Dapatkan rawatan perubatan kecemasan dengan segera.
  • Kebiasaannya ubat-ubatan seperti antihistamin, 'bronchodilator' (ubat membuka saluran pernafasan) dan steroid, alatan pembuka saluran pernafasan (insertion of airway) juga  cecair intravena diperlukan dalam rawatan alahan.
  • Memberi makanan yang menyebabkan alahan dalam kuantiti yang amat sedikit dengan beransur-ansur (desensitising) pernah digunakan tetapi ianya bukanlah rawatan piawaian yang diluluskan.
Apakah strategi pencegahan?
Penyusuan susu ibu akan mengurangkan risiko alahan makanan. Oleh itu, penyusuan susu ibu sepenuhnya perlu dilakukan sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 6 bulan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah positif alahan makanan dalam keluarga.
Peringatan
  • Berhati-hati dengan bahan-bahan yang tersembunyi dalam produk makanan yang mungkin tidak dinyatakan pada label makanan.
  • Tindak balas silang terhadap makanan boleh berlaku seperti alahan terhadap udang, udang karang dan ketam.
  • Beri peringatan kepada kanak-kanak yang bersekolah mengenai masalah alahan mereka dan pihak sekolah perlu dimaklumkan. Perancangan khusus perlu disediakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
SUMBER
ALAHAN TELUR
Pengenalan
Telur mudah diperoleh dalam kebanyakan makanan. Ibu bapa harus mengenali makanan yang mengandungi telur untuk mengelak alahan telur daripada terjadi kepada anak mereka.
Apakah itu alahan telur?
Alahan telur ialah reaksi tindak balas badan terhadap telur dan makanan yang mengandungi telur. Badan akan memberi tindak balas seolah-olah telur itu adalah bahan berbahaya.
Bagaimana alahan terjadi?
Alahan terjadi apabila badan bertindak balas terhadap telur sebagai bahan berbahaya. Badan menghasilkan antibodi untuk melawan protein telur. Antibodi ini merangsang sistem imun badan untuk mengeluarkan bahan kimia yang menyebabkan wujudnya gejala alahan telur.
Berapa kerap alahan ini terjadi?
  • Kadar kejadian alahan telur di Malaysia tidak diketahui.
  • Biasanya bermula semasa telur mula-mula diperkenalkan kepada bayi.
  • Alahan telur biasanya hilang apabila kanak-kanak berumur di antara 5 hingga 7 tahun.
Apakah kesan alahan ini?
Reaksi alahan boleh melibatkan kulit, usus dan paru-paru. Kadang-kala fungsi jantung dan tekanan darah juga turut terjejas.
Jenis-jenis reaksi:
  • Akut - gejala kelihatan dalam masa beberapa minit.
  • Lewat - gejala kelihatan biasanya selepas 2 hingga 4 jam.
Gejala alahan biasanya di alami untuk jangka masa kurang daripada sehari. Gejala ini termasuk:
  • Gatal-gatal, radang kulit (ekzema).
  • Muka menjadi merah.
  • Mata berair, bengkak kelopak mata.
  • Mulut gatal, bengkak bibir.
  • Tekak perit.
  • Hidung berair.
  • Nafas termengah-mengah, batuk.
  • Loya dan muntah.
  • Sakit perut.
  • Cirit-birit.
Bagaimana diagnosa alahan telur dilakukan?
Diagnosa dilakukan oleh doktor selepas mengambil sejarah kanak-kanak dan gejalanya.
  • Ibu bapa mungkin sedar bahawa bayi mereka sakit atau mendapat ruam sebaik sahaja makan telur. Dapatkan nasihat doktor sekiranya keadaan ini berlaku.
  • Ujian khusus yang mungkin dilakukan oleh pakar termasuk:
    • Ujian alahan kulit.
    • RAST (Radio Allergosorbent Test).
    • Ujian khas alahan telur ini boleh dilakukan tetapi tidak semestinya memberi keputusan yang tepat. Segala keputusan ujian perlu dianalisa dengan teliti oleh pakar sebelum diagnosa dibuat.
Apa itu Anafilaksis?
Sesetengah kanak-kanak boleh mendapat reaksi alahan teruk yang dipanggil anafilaksis. Reaksi ini wujud secara tiba-tiba dan teruk melibatkan kulit, paru-paru, usus, jantung dan salur darah.
Gejala ini berlaku dengan pantas termasuk:
  • Berasa takut.
  • Muka menjadi merah.
  • Mata, mulut, lidah dan bibir menjadi bengkak.
  • Tekak berasa perit.
  • Susah bernafas, nafas berbunyi (wheezing).
  • Loya dan muntah.
  • Sakit perut.
  • Pening.
  • Tekanan darah rendah.
  • Denyutan jantung cepat.
Bagaimana keadaan ini dirawat?
Untuk semua reaksi alahan:
  • Jumpa doktor dengan segera.
Ubat yang digunakan untuk merawat alahan termasuk:-
  • Antihistamines.
  • Adrenaline.
  • Steroid.
Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat-ubatan ini.
Bagaimanakah Anafilaksis dirawat?
Anafilaksis merupakan satu keadaan kecemasan yang perlu dirawati dengan segera.
  • Anda perlu membawa anak anda ke hospital dengan serta-merta.
  • Ubat EpiPen mesti diambil dengan serta-merta sekiranya anda memiliki ubat tersebut. (Ubat EpiPen adalah pen suntikan yang diisi dengan Epinephrine or Adrenaline yang boleh di dapati di Malaysia). Dapatkan nasihat doktor jika perlu pengisian semula.
Apakah yang saya harus lakukan jika anak saya ada alahan telur?
Sekiranya anak anda ada alahan telur:-
  • Elakkan daripada memakan telur dan makanan yang mengandungi telur (kandungan telur yang sedikit pun boleh menyebabkan reaksi yang teruk).
  • Baca dengan teliti label makanan dan elakkan makanan yang ada telur.
  • Rancang langkah kecemasan untuk sekiranya terjadi reaksi alahan.
  • Bawa bersama ubat EpiPen ke mana-mana, jika ada.
  • Pakaikan gelang yang ada ‘medic alert’ di pergelangan tangan anak.
  • Beritahu penjaga atau guru mengenai keadaan kesihatan anak.
  • Minta nasihat doktor mengenai sebarang langkah khas sebelum menerima imunisasi MMR (Mumps, Measles, Rubella).
Apakah tindakan yang perlu dilakukan?
Ketahuilah bahawa terdapat banyak makanan mungkin yang mengandungi telur tetapi tidak dimasukkan dalam label.
Contohnya:-
  • Albumin.
  • Globulin.
  • Ovalbumin.
  • Vitellin.
  • Lysozyme.
Dapatkan nasihat pakar pemakanan sekiranya anda tidak pasti kandungan sesuatu makanan. Apabila anak anda tidak mengambil telur, anda perlu pastikan anak anda mendapat nutrient yang cukup daripada sumber makanan yang lain
Adakah alahan dapat diatasi apabila anak saya meningkat dewasa?
Kebanyakan kanak-kanak berjaya mengatasi alahan telur. Walau bagaimanapun, pengambilan semula telur perlu dilakukan selepas berbincang dengan doktor anda.
======================================================================
ALAHAN KEKACANG

Pengenalan
Kacang adalah salah satu makanan biasa yang sering memberi alahan kepada seseorang. Dengan hanya sedikit pengambilannya boleh mencetuskan alahan kepada mereka yang ada alahan kekacang.
Apakah alahan kekacang?
Alahan kekacang ialah tindak balas badan (orang yang ada alahan kekacang) yang keterlaluan kepada kekacang tersebut.
  • Badan akan bertindak melawan kekacang tersebut sebagai bahan yang bahaya kepada badan.
  • Tindak balas ini boleh berpunca melalui pemakanan dan penyentuhan kekacang atau pun menghidu serbuk kacang.
Bagaimana ianya berlaku?
Alahan kekacang berlaku apabila allergen protin di dalam kacang mengakibatkan badan memberi tindak balas dengan pengeluaran antibodi IgE untuk melawan allergen protin tersebut. Antibodi ini bergabung dengan ‘mast cel’ dan mengeluarkan pelbagai bahan kimia (contoh: histamine) ke dalam aliran darah dan menyebabkan gejala timbul.
Berapa kerap alahan ini terjadi?
  • Keadaan ini lebih kerap berlaku di negeri-negeri barat berbanding di Asia.
  • Di Amerika Syarikat, kejadian ini berlaku kira-kira 0.8% dan berganda bagi kanak-kanak berumur dibawah 5 tahun.
  • Keadaan ini berlaku biasanya pada kanak-kanak berumur 1 tahun kebawah.
  • 1/3 daripada kanak-kanak ini akan bebas daripada alahan ini ketika berumur 5 tahun.
  • Selainnya alahan ini berlaku seumur hidup.
Apakah gejala alahan kekacang?
Tindak balas boleh berlaku dengan hanya sedikit protien kacang kepada mereka mengalami alahan.
Tindak balas ini lazimnya dapat dilihat dibahagian mata, mulut, kulit, usus dan paru-paru. Ia berlaku selepas makan atau satu jam selepasnya.
Tindak balas ini serius semasa pertama kali berlaku.
Gejala ini mungkin berlaku salah satu atau kombinasi:
  • Uriticaria (kulit berbintat, gatal dan kemerahan).
  • Mata berair.
  • Kelopak mata bengkak.
  • Bibir bengkak dan mulut terasa gatal.
  • Tekak merasa sempit.
  • Wheezing (nafas berbunyi).
  • Muntah.
  • Sakit perut.
  • Cirit birit.
Bagaimana diagnosa alahan kekacang dilakukan?
Diagnosa diberi oleh doktor yang memeriksa pesakit tentang sejarah dan gejalanya.
  • Ibu bapa mungkin mendapati anak mereka tidak sihat dan mengalami ruam selepas makan kacang.
  • Ujian khas mungkin dibuat oleh doktor termasuk:
    • Ujian alahan kulit.
    • Peanut RAST (Ujian Radio Allergosorbent ).
    • Peanut challenge (Jarang dilakukan kepada kanak-kanak).
Ujian-ujian ini dilakukan berlainan kepada individu mengikut gejala yang diperiksa oleh doktor.
Apakah itu Anafilaksis?
Sebagian kanak-kanak mendapat tindak balas alahan yang serius yang dinamakan anafilaksis.
Tindak balas ini berlaku secara tiba-tiba dan serius ke atas kulit, paru-paru, usus, jantung dan saluran darah. Tindak balas berlaku dengan cepat termasuk:
  • Merasa ketakutan yang amat sangat.
  • Muka menjadi kemerahan.
  • Kelopak mata, bibir dan lidah membengkak.
  • Tekak menjadi sempit.
  • Susah bernafas dan wheezing (nafas berbinyi).
  • Loya dan muntah.
  • Sakit perut.
  • Pening kepala.
  • Tekanan darah rendah.
  • Degupan jantung cepat.
Tindak balas yang teruk boleh menyebabkan koma dan kematian jika tidak dirawat.
Bagaimana keadaan ini dirawat?
Untuk semua jenis alahan:
  • Dapatkan rawatan doktor secepat mungkin.
Ubat untuk merawat alahan termasuk:
  • Antihistamines.
  • Adrenaline.
  • Steroids.
Sila dapatkan nasihat doktor.
Bagaimana anafilaksis dirawat?
Anafilaksis adalah satu keadaan kecemasan.
  • Bawa anak anda ke klinik/hospital berdekatan dengan segera.
  • Guna EpiPen jika anda ada membawanya (EpiPen adalah Epinephrine atau Adrenaline sejenis suntikan belum terdapat di Malaysia. Dapatkan nasihat doktor jika perlu untuk pengisian semula).
Bagaimana keadaan ini dapat dielak?
Bagi mengelak alahan kekacang:
  • Ibu yang mempunyai sejarah alahan kekacang hendaklah mengelak daripada mengambil kekacang semasa hamil.
  • Beri susu ibu sahaja sehingga anak berumur 6 bulan.
  • Jangan beri anak anda kekacang sehingga anak berumur 3 tahun (bagi yang ada sejarah alahan kekacang).
Apa yang patut anda lakukan jika anak anda mengalami alahan kekacang?
Jika anak anda alahan kekacang:
  • Elakkan semua jenis kacang untuknya.
  • Baca semua label makanan dengan teliti dan elakkan makanan yang bercampur kacang.
  • Jangan berkongsi peralatan makan anak anda dengan orang lain.
  • Simpan senarai pelan tindakan kecemasan jika alahan berlaku.
  • Bawa EpiPen (bersama anda atau anak anda ketika berlaku kecemasan untuk disuntik).
  • Pakaikan gelang Medic Alert kepada anak anda.
Apakah ubat bagi mencegah alahan ini berlaku?
Ubat Monoclonal anti-IgE antibodi telah diguna pakai untuk mengurangkan berlakunya alahan kekacang. Sila dapatkan nasihat doktor untuk rawatan ini.
Apakah pengawasan yang perlu diketahui?
  • Berhati-hati memilih makanan yang tidak menyatakan kandungan kacang.
  • Dapatkan nasihat pakar pemakanan sekiranya anda tidak pasti kandungan sesuatu makanan.
  • Apabila anak anda tidak mengambil kacang, pastikan anak anda mendapat zat makan secukupnya daripada sumber lain untuk pembesaran.

=======================================================================

Alahan Protein Susu Lembu

Pengenalan
CMPA merupakan tindak balas luar biasa yang berlaku apabila tubuh kita terdedah kepada protein susu lembu. Tindak balas ini dicetuskan oleh sistem imunisasi tubuh kita dan oleh itu boleh menjejaskan pelbagai bahagian dalam tubuh kita; seperti kulit, paru-paru dan usus.
CMPA adalah berbeza daripada ketidaktahanan laktosa ataupun "lactose intolerance". Ketidaktahanan laktosa berlaku apabila usus kita tidak boleh menghadam gula laktosa yang terkandung dalam susu. Ia akan menyebabkan cirit-birit.
Susu lembu adalah pengganti susu ibu yang utama. Oleh itu, ia merupakan penyebab alahan yang paling biasa di kalangan bayi. Kebanyakan bayi yang mengalami alahan kepada susu lembu akan sembuh apabila menjangkau umur 3 hingga 4 tahun.
Walau bagaimanapun, bayi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami CMPA yang berterusan, jika :
  • Terdapat ahli keluarga lain yang mengalami masalah alahan.
  • Bayi juga mengalami masalah alahan lain seperti asma, ekzema dan resdung (allergic rhinitis).
Gejala-gejala CMPA
  1. Kulit :
    • Ekzema – kulit kering, merah, gatal. Biasanya di leher, pipi, pelipat siku dan pelipat lutut.
    • Bengkak bibir, muka dan mata, dan juga ruam gatal. Biasanya timbul sejurus selepas bayi minum susu lembu.
  2. Paru-paru
    • Sesak nafas, berdehit.
  3. Usus
    • Cirit-birit.
    • Muntah.
    • Najis berdarah.
Komplikasi dan tanda-tanda bahaya CMPA
Jika bayi anda mengalami gejala-gejala seperti sesak nafas, muka pucat ataupun biru, bibir/lidah bengkak ataupun pengsan, bayi anda mungkin mengalami "anaphylaxis shock". Keadaan ini adalah amat bahaya dan anda harus membawa bayi anda untuk mendapat rawatan serta-merta.
Bayi yang mengalami CMPA juga boleh mengalami masalah tumbesaran – berat badan yang meningkat secara perlahan ataupun tiada peningkatkan berat badan.
Rawatan
Penyusuan susu ibu merupakan langkah terbaik untuk mencegah CMPA.
Susu ibu adalah disyorkan untuk diberi kepada bayi untuk 6 bulan pertama.
Jika memerlukan susu pengganti, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor untuk mengesahkan diagnosis CMPA. Ini kerana terdapat pelbagai keadaan lain yang boleh menyebabkan tanda-tanda yang telah disenaraikan di atas.
Selain itu, jika mengalami alahan protein susu lembu, bayi anda juga mungkin alah terhadap susu soya dan susu kambing.
Oleh itu, bayi anda biasanya memerlukan susu khas yang hanya boleh diberi selepas mendapat nasihat doktor.
Susu soya juga tidak disyorkan untuk bayi berumur 6 bulan ke bawah.
myhealtgov

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!