DHA Tingkat Fungsi Otak Bayi

By Zahirah Dzahir - 12/20/2013 05:18:00 PTG

Assalamualaikum..
Sangat penting memberi pendedahan kepada kanak-kanak pelbagai bentuk persekitaran pembelajaran untuk perkembangan mental yang optimum.
Pemberian nutrisi yang betul dan mencukupi juga perlu dalam memaksimumkan perkembangan otak kanak-kanak bermula dari tahun awal. 
Asid Docosahexaenoic (DHA) adalah asid lemak omega-3 yang penting untuk perkembangan sistem saraf dan keupayaan penglihatan visual untuk fungsi otak yang baik walaupun di kalangan orang dewasa. 
DHA adalah komponen struktur utama dan asid lemak omega-3 paling banyak dalam otak dan retina serta berperanan meningkatkan hubungan neuron dan transmisi maklumat untuk daya ingatan dan pembelajaran lebih baik.
Foto
DHA adalah komponen struktur yang utama dan juga asid lemak omega-3.
Apabila seorang kanak-kanak menerima tahap DHA mencukupi dan bersama nutrien otak lain yang penting serta stimulasi pemupukan perkembangan, ia boleh membantu dalam membentuk perkembangan empat ciri-ciri genius.
Visual penglihatan lebih tajam untuk pembelajaran lebih cepat dan perkembangan intelektual lebih tinggi mendorong keupayaan lebih baik dalam pembelajaran dan ingatan.
Kemahiran penyelesaian masalah lebih baik berpunca daripada daya tumpuan, daya ingatan dan keupayaan untuk melaksanakan aplikasi. Kemahiran bahasa lebih pantas satu asas penting untuk pendidikan masa depan.
Menurut Pengarah Institut Pengajian Jangka Hayat Schiefelbusch, Amerika Syarikat, Profesor Dr John Colombo, otak manusia mengandungi hampir 60 peratus lemak dan asid lemak antara molekul paling penting yang menentukan kemampuan dan kebolehan otak untuk berfungsi. 
“DHA adalah asid lemak politaktepu (PUFA) yang penting. DHA juga asid lemak omega-3 paling banyak di dalam otak dan retina merangkumi 40 peratus PUFA di dalam otak dan 60 peratus PUFA dalam retina. Manakala 50 peratus daripada berat membran plasma neuron adalah DHA.
“Sebagai satu komponen struktur bagi sistem saraf utama, DHA berfungsi meningkatkan keutuhan membran neuron dan transmisi isyarat selepas rangsangan. 
“Selain berperanan penting dalam pembentukan struktur otak, DHA terbabit dalam biosintesis neurotransmitter (catecholamines).
“Kuantiti DHA tertinggi boleh diperoleh dalam bahagian kawalan motor otak yang memainkan peranan utama dalam memori, perkembangan sosial dan kelakuan,” katanya.
Beliau yang juga tenaga pengajar di Jabatan Psikologi, Universiti Kansas, Amerika Syarikat ditemui di ibu negara sempena Ekspo Minda anjuran Mead Johnson Nurtition (M) Sdn Bhd pada 1 hingga 4 November lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Katanya, 80 peratus daripada pertumbuhan dan perkembangan otak berlaku dalam 1,365 hari pertama dalam hidup iaitu bermula dari dalam rahim ibu sehingga usia tiga tahun. 
Hasil kajian yang meyakinkan menunjukkan hubungan DHA dengan perkembangan cerebral yang cepat ketika dalam kandungan sehingga usia beberapa tahun selepas lahir. 
Kajian saintifik menunjukkan DHA adalah komponen penting untuk menggalakkan pembentukan otak, di mana penglihatan visual dan perkembangan mental nampaknya bertambah baik dengan pengambilan makanan tambahan DHA.
“Perpindahan DHA daripada darah ibu ke dalam uri adalah paling laju berbanding asid lemak lain. Justeru, kadar DHA bayi dua kali lebih tinggi daripada si ibu.
“Jika kadar DHA ibu adalah rendah, DHA boleh juga diperoleh daripada punca paling banyak dalam badan ibu iaitu otak,” katanya.
Pertumbuhan otak paling cepat berlaku dalam tahun pertama bayi apabila otak bayi membesar tiga kali ganda saiz asal pada usianya masuk satu tahun. DHA merangkumi 10 hingga 15 peratus berat cerebral cortex seorang bayi. 
Bagi bayi yang membesar, kadar DHA lebih tinggi sangat diperlukan untuk pembesaran sel neuron berbanding struktur otak lain.
Komposisi membran dalam sel neuron sentiasa mengalami proses pembinaan dan boleh berubah secara drastik jika wujud perubahan dalam pemakanan. 
“Ini terbukti apabila asid lemak yang lain mendatar ketika kelahiran, tahap DHA pula berkembang dua kali ganda, terutama ketika tempoh pertumbuhan pesat set saraf iaitu sewaktu pertumbuhan pesat otak. 
“DHA tidak boleh dihasilkan oleh badan dan mesti diperoleh daripada sumber pemakanan,” katanya. 
Beliau bekerjasama dengan rakan setugas, Dr Susan Carlson dan Dr Kathleen Gustafson, masing-masing pakar dalam bidang nutrisi dan diet serta pakar neurologi di Universiti Kansas, bagi menyelidik kesan pemakanan tambahan rangkaian panjang asid lemak politaktepu (LCPUFA) selepas lahir dan kajian itu dinamakan DIAMOND bagi memahami dengan lebih mendalam mengenai kesan DHA dalam perkembangan kognitif dan intelektual.
Katanya, kajian klinikal DIAMOND ke atas nutrien pemakanan tambahan DHA dalam formula nutrisi awal kanak-kanak pada peringkat selepas lahir menunjukkan kesan positif jangka panjang ke atas perkembangan kanak-kanak.
“Kami mengadakan ujian klinikal ‘double-blinded’ secara rambang dan terkawal yang direka untuk mengkaji tindak balas dos DHA dalam formula nutrisi awal kanak-kanak. 
“Sebanyak 343 kanak-kanak diberikan empat formula mengandungi jumlah nutrien sama kecuali kandungan PUFA. Semua empat formula ditambahkan DHA juga diberikan asid arachidonic (ARA) sebanyak 0.64 peratus.
“Kumpulan yang dikawal menerima DHA sebanyak sifar peratus dalam formula mereka, satu menerima DHA 0.32 peratus, satu lagi menerima DHA 0.64 peratus dan yang keempat menerima DHA 0.96 peratus,” katanya.
Dr Colombo berkata, kajian itu mengukur tahap ketajaman penglihatan Visual Evoked Potential (VEP) dengan mengukur corak gelombang otak yang terbentuk oleh stimuli penglihatan yang dipaparkan dengan laju. 
Corak itu menjadi lebih jelas sehingga gelombang otak yang dicetuskan menghilang dan ini dianggap sebagai titik akhir penentuan ketajaman tahap penglihatan. 
“Kajian klinikal DIAMOND mendapati kanak-kanak yang diberi formula tidak mengandungi DHA mencapai tahap potensi ketajaman penglihatan lebih rendah dalam tempoh 12 bulan berbanding kanak-kanak yang menerima formula tambahan DHA.
“Bagaimanapun, tiada kesan perbezaan ketara pada ketajaman penglihatan di antara tiga kelompok responden dengan sukatan tambahan DHA berbeza dan dengan kadar DHA 0.32 peratus secara umumnya mencukupi untuk memberi kesan positif. Ini mungkin disebabkan kedua-dua DHA dan ARA bersaing untuk enzim sama,” katanya.
Dalam fasa kedua kajian ini, kelompok kanak-kanak sama diuji dengan beberapa ujian kepintaran ke atas kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun. 
“Kanak-kanak menerima pemakanan tambahan DHA menunjukkan perkembangan cepat untuk aktiviti terperinci, termasuk diskriminasi corak, peraturan pembelajaran dan perencatan di antara usia tiga hingga lima tahun.
“Mereka juga menunjukkan prestasi lebih baik dalam dua ujian piawaian kepintaran yang digunakan secara meluas iaitu Ujian vokabulari Gambar Peabody pada usia lima tahun dan Skala Bijaksana Pra Sekolah Weschler pada usia enam tahun mengatasi kumpulan kawalan dalam semua bahagian darjah kecerdasan (IQ),” katanya
Ketika lahir, otak berkembang sebanyak 100 billion neuron. Neuron pada ketika ini masih tidak matang dan kebanyakannya belum berhubung antara satu sama lain.
Tidak lama selepas kelahiran, otak bayi baru lahir mula membentuk trilion hubungan dan jaringan antara neuron dalam bilangan mega.
Trilion dipanggil ‘synapses’ sangat penting kerana ia mempengaruhi perkembangan penglihatan, pendengaran, deria hidu, pembelajaran pada tahap lebih tinggi.
“Synapses dibentuk oleh setiap neuron yang mempunyai serat berbentuk sesungut panjang dipanggil axon yang digunakan untuk menghantar mesej kepada neuron lain.
“Mesej dihantar sebagai isyarat elektrik dan diterima beribu-ribu serat pendek berbentuk seperti rambut dipanggil ‘dendrites’ yang juga dikeluarkan oleh neuron. 
“Walaupun proses perkembangan otak bermula dengan gen, pemupukan perkembangan iaitu apa dialami kanak-kanak sekarang akan mengambil alih proses ini.
“Pengalaman ini mencetuskan aktiviti elektrik yang membolehkan otak mengembangkan hubungan dan membesar,” katanya. 

Semakin banyak stimulasi atau rangsangan diterima oleh otak dalam pengalaman ini semakin banyak neuron akan berhubung, justeru membolehkan pembelajaran lebih baik dan meningkatkan kepintaran.
Pengalaman berulang kali akan membantu membina hubungan kekal di dalam otak. Mencecah usia lapan bulan, bayi normal dan dibesarkan dalam suasana persekitaran yang mempunyai stimulasi, selamat dan penuh kasih sayang akan mencetuskan 500 trilion hubungan. 
“Ketika mencecah usia dua tahun, seorang bayi akan mempunyai 1,000 trillion hubungan. Walaupun hubungan ini terus terbentuk sepanjang hayat, mereka mencapai kepadatan paling tinggi iaitu 15,000 synapses untuk satu neuron.
“Struktur akar otak yang menyediakan asas untuk fungsi di masa depan, sebahagian besarnya siap dibentuk apabila berusia tiga tahun.
“Apabila tiba masa itu, asas untuk pemikiran, bahasa, kebolehan dan perlakuan dibentuk dan struktur dan bentuk otak mencapai 80 peratus sempurna,” katanya.

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!